Penglibatan awal dalam dunia seni Azlina_Aziz

Kerjaya seninya bermula ketika beliau menglibatkan diri sebagai penari kumpulan Normadiah Dancer's iaitu di bawah pimpinan ibunya. Beliau seringkali muncul sebagai pengiring ketika artis membuat persembahan dalam rancangan hiburan televisyen terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sekitar penghujung tahun 70-an. Beliau juga berpeluang untuk mengadakan persembahan nyanyian di khalayak apabila selalu mengikuti ibu bapanya tatkala menghadiri majlis-majlis hiburan. Selain itu, beliau juga diberi peluang untuk muncul sebagai pelakon tambahan dalam filem-filem yang melibatkan ibu bapanya pada waktu itu. Antara filem berkenaan adalah seperti Sumpah Semerah Padi, Dendang Perantau dan sebagainya.

Namun, kerjaya beliau mula berkembang apabila mendapat tawaran berlakon dari pengarah Aziz Sattar dalam filem Prebet Lapok sebagai kekasih kepada A. R. Badul. Filem ini diterbitkan pada tahun 1979. Selain daripada berlakon, beliau turut berpeluang untuk mempamerkan bakat nyanyiannya secara lebih meluas apabila turut menyanyikan sebuah lagu hasil nukilan Kassim Masdor.

Beliau juga pernah menjadi pilihan pengarah Omar Rojik untuk memegang peranan sebagai heroin kepada R. Jaafar di dalam filem Si Luncai pada tahun 1980. Namun, penglibatan beliau sebagai pelakon dilihat begitu terbatas. Kebanyakan filem lakonannya bersifat ringan dengan cerita yang berunsur komedi sahaja.

Beliau juga pernah ditawarkan untuk memegang peranan utama yang berat di dalam sebuah drama swasta terbitan Sabah Filem Productions yang berjudul Layang-Layang Terputus Talinya. Tetapi, beliau telah menolaknya atas sebab-sebab yang tertentu. Akhirnya, watak itu telah diberikan kepada aktres Maria Arshad.

Selain itu, album runut bunyi dari filem Dunia Ana Yang Punya juga menghimpunkan lagu-lagu daripada filem Penyamun Tarbus dan Detik 12 Malam. Album runut bunyi ini juga turut dipasarkan kepada umum oleh Syarikat Indra Record. Dari segi dokumentasi, lagu pertama yang pernah beliau rakamkan di dalam bentuk album adalah lagu dari album runut bunyi Prebet Lapok yang berjudul Kasih Sayang.

Selepas penglibatan beliau dalam filem tersebut, bakat nyanyiannya telah menarik minat komposer dan penerbit album terkenal ketika itu iaitu Ahmad Nawab. Setelah lulus proses uji bakat, akhirnya beliau menandatangani kontrak sebagai artis di bawah label WEA Records (Malaysia) Sdn. Bhd. pada tahun 1980. Pada tahun 1981, album sulung beliau yang bernama ‘Kau Pergi Jua’ berjaya diterbitkan oleh komposer, Akbar Nawab.

Nama beliau telah menjadi sebutan seiring dengan populariti lagu Wajahmu di Mana-Mana, Dewi Dewi, Sireh Pinang dan lain-lain. Kehadiran beliau sebagai penyanyi amat memberangsangkan apabila jualan album sulungnya itu mencatat kutipan yang agak tinggi pada masa itu serta mendapat anugerah "Silver Disc".